Nama – nama Nabi Muhammad SAW di dalam Quran dan Hadis

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tahukah anda bahawa Nabi Muhammad SAW mempunyai lebih dari satu nama?

Dalam tradisi orang Arab, ada pepatah yang berbunyi,

“كَثْرَةُ الأَسْمَاءِ تَدُلُّ عَلَى شَرْفِ المُسَمَّى”

Banyaknya nama, menunjukkan mulianya pemilik nama-nama tersebut”

Imam An Nawawi juga ada menyebut di dalam Tadzhibul Asma’,

Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan agungnya si pemilik nama-nama tersebut. Hal tersebut sebagaimana Allah memiliki banyak nama dan Rasulullah juga memiliki banyak nama.”

Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad

Sememangnya di dalam Islam, sesuatu yang mulia dan agung mempunyai banyak nama yang diberikan sendiri oleh Allah SWT atau Rasulullah SAW. Selain Allah SWT dan Rasulullah SAW seperti yang dinukilkan oleh Imam Nawawi di atas, di dalam Quran dan Hadis ada disebut perkara mulia lain yang juga memiliki banyak nama adalah Quran, Surah Al Fatihah, Hari Kiamat dan Ibadah Solat.

Kali ini akan dikongsikan beberapa nama Nabi Muhammad SAW daripada ayat Quran dan Hadis yang sahih. Tujuannya adalah untuk kita lebih mengenali nama-nama Baginda SAW supaya rasa cinta dan rindu kepada Baginda SAW sentiasa tumbuh mekar. Bak kata pepatah, “Tak Kenal, Maka Tak Cinta”.

Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad

Nama-nama Yang Jelas Disebut Di Dalam Quran & Hadis

  1. Muhammad

Nama Muhammad adalah nama Baginda SAW yang paling utama dan terkenal. Nama ini disebut di dalam Quran sebanyak empat kali pada empat ayat yang berbeza.

> Surah Ali-‘Imran, Ayat 144, m/s 68

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ۬ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُ‌ۚ

> Surah Al-Ahzab, Ayat 40, m/s 423

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍ۬ مِّن رِّجَالِكُمۡ وَلَـٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّـۧنَۗ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului oleh beberapa orang Rasul sebelumnya.”

Bukanlah Muhammad itu bapa bagi seseorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi.”

> Surah Muhammad, Ayat 2, m/s 507

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَءَامَنُواْ بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ۬ وَهُوَ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّہِمۡ‌ۙ كَفَّرَ عَنۡہُمۡ سَيِّـَٔاتِہِمۡ وَأَصۡلَحَ بَالَهُمۡ

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad, dan itu adalah kebenaran dari Tuhan mereka, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan memperbaiki keadaan mereka.”

> Surah Al-Fath, Ayat 29, m/s 511

مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡ‌

Muhammad adalah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir dan bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama mereka.”

Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad

2. Ahmad

Nama Ahmad ini hanya disebut sekali di dalam Quran iaitu pada Surah As-Sof, Ayat 6, m/s 552.

وَإِذۡ قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ يَـٰبَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَىَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَٮٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٍ۬ يَأۡتِى مِنۢ بَعۡدِى ٱسۡمُهُ ۥۤ أَحۡمَدُ‌ۖ

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad“.

3. Al-Mahi, Al-‘Hasyir dan Al-‘Aqib

Nama-nama ini telah disebut sendiri oleh Baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadis.

Daripada Mut’im, bahawa Nabi SAW bersabda:

لِي خَمْسَةُ أَسْمَاءٍ: أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ وَأَنَا المَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللَّهُ بِي الكُفْرَ، وَأَنَا الحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي، وَأَنَا العَاقِبُ

Maksudnya: “Aku mempunyai lima nama iaitu Muhammad, Ahmad, aku juga penghapus yang mana Allah SWT menghapuskan kekufuran denganku, aku penghimpun yang mana manusia akan berhimpun di bawah kakiku dan aku juga nabi terakhir.” 

[HR al-Bukhari (3532)]

Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad

4. Al Muqoffi, Nabiyyu Taubah dan Nabiyyur Rohmah

Nama-nama ini juga telah disebut sendiri oleh Baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadis.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Nabi SAW pernah menyebut kepada kami beberapa nama Baginda SAW:

أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ، وَالْمُقَفِّي، وَالْحَاشِرُ، وَنَبِيُّ التَّوْبَةِ، وَنَبِيُّ الرَّحْمَةِ

Maksudnya: “Aku adalah Muhammad, Ahmad, Nabi yang terakhir, aku penghimpun, nabi yang mengajar taubat dan nabi yang membawa rahmat.” 

[HR Muslim (2355)]

Baginda SAW dinamakan Al Muqoffi (orang yang diikuti jejaknya) kerana ajaran yang dibawakan Baginda SAW kepada umat manusia adalah sama dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi-nabi terdahulu iaitu mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah.

Imam Nawawi menjelaskan nama Nabiyyut Taubah dan Nabiyyur Rohmah ialah sempena kedatangan Baginda SAW yang mengajar umat manusia untuk bertaubat dan berkasih sayang. Melalui Baginda SAW, Allah SWT telah membuka pintu taubat bagi seluruh penduduk bumi, yang kemudiannya bertaubat dengan taubat yang tidak pernah dilakukan oleh umat terdahulu. Malah, Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling banyak beristighfar (memohon ampun) kepada Allah SWT.

Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad

5. Al Mutawakkil

Nama Baginda SAW ini juga ada disebutkan di dalam sebuah hadis yang panjang.

عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قُلْتُ أَخْبِرْنِي عَنْ صِفَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي التَّوْرَاةِ قَالَ أَجَلْ وَاللَّهِ إِنَّهُ لَمَوْصُوفٌ فِي التَّوْرَاةِ بِبَعْضِ صِفَتِهِ فِي الْقُرْآنِ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا وَحِرْزًا لِلْأُمِّيِّينَ أَنْتَ عَبْدِي وَرَسُولِي سَمَّيْتُكَ المتَوَكِّلَ لَيْسَ بِفَظٍّ وَلَا غَلِيظٍ وَلَا سَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ وَلَا يَدْفَعُ بِالسَّيِّئَةِ السَّيِّئَةَ وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَغْفِرُ وَلَنْ يَقْبِضَهُ اللَّهُ حَتَّى يُقِيمَ بِهِ الْمِلَّةَ الْعَوْجَاءَ بِأَنْ يَقُولُوا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Dari Atha` bin Yasar, dia berkata : Aku menjumpai Abdullah bin Amr bin ‘Ash radhiyallahu anhuma, lalu aku berkata,”Khabarkan kepadaku tentang sifat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang ada di dalam Taurat!’

Dia menjawab, “Baiklah. Demi Allah, sesungguhnya beliau itu diterangkan sifatnya dalam Taurat dengan sebahagian sifat yang ada di dalam Al Quran, (iaitu), ’Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi dan pembawa khabar gembira, dan pemberi peringatan serta penjaga bagi orang-orang Arab. Kamu adalah hamba dan Rasul-Ku. Namamu Al Mutawakkil, bukan keras dan bukan pula kasar,’ dan Allah ‘Azza wa Jalla tidak mencabut nyawanya sampai dia berhasil meluruskan agama yang telah bengkok dengan mengatakan Laa ilaaha illallah”.

(HR Bukhari)

Maka dapatlah disimpulkan di sini, nama-nama Nabi Muhammad SAW seperti yang dinyatakan di dalam Quran dan Hadis ialah :

  1. Muhammad (yang terpuji)
  2. Ahmad (yang terpuji)
  3. Al Mahi (penghapus kekufuran)
  4. Al Hasyir (penghimpun sekalian manusia)
  5. Al ‘Aqib (nabi terakhir)
  6. Al Muqoffi (orang yang diikuti jejaknya)
  7. Nabiyyut Taubah (nabi yang mengajar taubat)
  8. Nabiyyur Rohmah (nabi yang membawa rahmat)
  9. Al Mutawakkil

Semoga dengan mengetahui nama-nama Nabi Muhammad SAW ini dapat menambahkan kecintaan kita kepada Baginda SAW dan seluruh keluarga Baginda SAW.

Sollu ‘alan nabiyy. Allahumma Solli Wasallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad.

Comments

comments

Dapatkan Tips Bagaimana Nak Istiqamah

Baca Al-Quran

Masukkan NAMA dan EMAIL utama anda

Nama Panggilan:
Email Utama Anda:

You have Successfully Subscribed!

Share This