Maulidur Rasul : Benarkah jatuh pada 12 Rabi’ul Awwal?

Sempena bulan Rabi’ul Awwal, kami nak kongsikan dengan anda beberapa fakta menarik tentang bulan istimewa ini kerana kebanyakan dari kita sedia maklum bulan ini ialah bulan kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

Maulidur Rasul
Bulan Rabi’ul Awwal bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW

Terdapat beberapa pendapat para ilmuan berkenaan perkara-perkara berikut, namun kami bawakan pendapat yang paling kuat dan rajih di sisi kebanyakan ilmuan islam :

Pertama : Waktu kelahiran Nabi Muhammad SAW 

  1. Tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW
  • Tahun yang disepakati oleh para ilmuan adalah pada Tahun Gajah.  
  • Perbezaan pandangan adalah berapa bilangan hari selepas serangan tentera bergajah Abrahah. Ada yang menyatakan 40 hari dan ada yang menyatakan 50 hari selepas peristiwa serangan tentera Abrahah.
  1. Bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW
  • Tarikh yang disepakati adalah pada bulan Rabi’ul Awwal.
  • Walaupun ada pandangan yang menyatakan baginda dilahirkan pada bulan Safar, tetapi pandangan ini amat lemah.
  1. Tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad SAW
  • Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Al-Rahiq Al-Makhtum menyatakan tarikh kelahiran baginda adalah pada tanggal 09 Rabi’ul Awwal pada Tahun Gajah, iaitu 571 Masihi.
  • Pendapat ini juga disokong oleh Syeikh Muhammad Khudori Biik dalam kitabnya Nurul Yaqin.
  1. Hari kelahiran Nabi Muhammad SAW
  • Para ilmuan bersepakat baginda dilahirkan pada hari Isnin.
Maulidur Rasul

Kedua : Masa kelahiran Nabi Muhammad SAW

  1. Ketika fajar hampir menyingsing.  Ini pendapat al-Zubair bin Bakkar.
  1. Pada waktu pagi. Ini pendapat Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari. Pendapat ini ditarjihkan oleh ramai ulama’ seperti Sa’id bin al-Musayyib, Ibn Dihyah dan al-Zarkasyi.

Ketiga : Tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW

  • Para ilmuan bersepakat baginda Rasulullah SAW dilahirkan di Makkah. 
  • Baginda SAW dilahirkan di rumah Abu Talib di Syi’b Bani Hashim. 
  • Bidan yang menyambut kelahiran Baginda SAW adalah al-Syifa’, ibu kepada Abd al-Rahman ibn ‘Auf. 
Maulidur Rasul

Keempat : Hukum menyambut Maulid ar-Rasul

Isu ini adalah perkara yang paling mendapat sambutan hangat setiap tahun kerana ianya melibatkan beberapa pandangan khilaf di sisi para ilmuan.

  1. Sebahagian ulama’ menyatakan hukum menyambut Maulid ar-Rasul adalah bida’ah berdasarkan hujah berikut :
  • Perayaan ini tidak pernah dibuat oleh generasi terdahulu yang mulia iaitu generasi sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan generasi lain selepasnya kerana ianya dianggap sebagai satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.

“Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku), “Hamba Allah dan Rasul-Nya”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3445)
Maulidur Rasul
  1. Sebahagian ulama’ pula menyatakan hukum menyambut Maulid ar-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bida’ah hasanah, tetapi hendaklah mengikuti syarat-syarat tertentu seperti :
  • Melibatkan pengisian aktiviti yang bermanfaat seperti tazkirah dan ceramah
  • Tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan
  • Tiada unsur maksiat
  • Mendalami kisah kehidupan Baginda Nabi SAW dan sejarah perjuangan dakwah Baginda Nabi SAW supaya pengetahuan kita tentang Baginda sentiasa bertambah dari tahun ke tahun. Antara bahan bacaan yang boleh dirujuk adalah :
  • Kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
  • Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham
  • Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi
  • Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali
  • Buku “Muhammad Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan” oleh Dr Kamilin Jamilin

Maulidur Rasul

Perbanyakkan selawat kepada Baginda Nabi SAW kerana terdapat kelebihan istimewa yang sahih :

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”

(Hadis Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)
  • Antara lafaz selawat yang afdhal adalah seperti yang dinyatakan dalam Sahih al-Bukhari no. 2497. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
  • Baginda menjawab dengan mengatakan, Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ , كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ , كَمَابَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maulidur Rasul

Kesimpulannya, sempena bulan kelahiran Baginda Nabi SAW ini, marilah kita perbanyakkan amalan-amalan yang baik seperti membaca Quran, perbanyakkan sedeqah, berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis dan lain-lain amalan yang ma’ruf sebagai tanda kesyukuran kita atas kelahiran Baginda Nabi SAW.

Seperti yang dinukilkan oleh Syeikhul Imam Abu Syamah atau nama sebenarnya, Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadith di Damsyik),

“Termasuk perkara baru atau bida’ah yang dilakukan pada masa kita iaitu sambutan setiap tahun pada hari kelahiran Baginda SAW adalah dengan bersedekah, melakukan yang ma’ruf, menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya di samping itu, melakukan ihsan kepada golongan fakir miskin adalah tanda kecintaan dan memuliakan Rasulullah SAW dalam hati orang yang menyambutnya. Begitu juga ianya merupakan tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diutus-Nya Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.”

Syeikhul Imam Abu Syamah
Maulidur Rasul

Semoga kita semua sentiasa dilindungi oleh Allah, diberikan kekuatan untuk sentiasa mengikuti setiap suruhan-Nya, menjunjung sunnah Nabi-Nya yang sahih dan dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat agama. Wallahua’lam.

Rujukan utama : 

Bayan Linnas Siri 6 oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 2 Januari 2015  

Comments

comments

Dapatkan Tips Bagaimana Nak Istiqamah

Baca Al-Quran

Masukkan NAMA dan EMAIL utama anda

Nama Panggilan:
Email Utama Anda:

You have Successfully Subscribed!

Share This