Apabila mengenang kenikmatan, dosa, nafsu manusia melibatkan seluruh pancaindera dan anggota tubuh untuk mengikuti keinginannya. Kaki yang menghantarkan ia ke tempat tujuannya, mata yang menunjukkan arah jalan, tangan yang menyumbang, telinga yang mendengar apa-apa yag dikehendaki dan begitu juga hal-hal dengan semua anggota badan.
Ketika Mulut Terkunci
Hari ini, betapa banyaknya kezaliman tertutup oleh fasihnya lisan bicara. Berapa banyak keburukan yang dibuat oleh indahnya susunan kata-kata. Ada lagi yang merasa aman bebuat dosa, lantaran boleh sembunyi di sebalik manisnya lidah berkata-kata. Membantah, meskipun jelas-jelas bersalah. Bermain kata untuk menutupi dusta.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya dalam slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, mulut manusia akan sentiasa menipu atau membangkang dan sebab itu mulut ditutup. Tangan dan kaki akan bercakap sebagai saksi atas segala perbuatan dilakukan ketika hidup di muka bumi.
Begitu juga anggota tubuh lain seperti firman yang bermaksud: “Dan (selepas berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap sesuatu pandai berkata-kata, menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).” (Surah al-Fussilat, ayat 21)
Ganjaran setiap amalan baik
Melakukan amalan baik ada kalanya meletihkan berbanding melakukan kemungkaran dan kejahatan tetapi harus diingat setiap amalan baik itu ada ganjaran disediakan oleh Allah SWT.
Ulama membincangkan persoalan kenapa manusia datang di hadapan Allah SWT dalam keadaan bisu dan berdasarkan penjelasan Baginda Rasulullah SAW, anggota tubuh dapat berkata-kata untuk memalukan orang melakukan kejahatan di hadapan semua makhluk di akhirat kerana mengingkari larangan Allah SWT.
Selain itu apabila membaca kitab surat amalan masing-masing, ada dalam kalangan manusia yang tidak memahami catatan itu dan tidak mengakui dia melakukan perbuatan buruk ketika hidupnya. Lalu Allah SWT menutup mulutnya dan digantikan anggota badannya yang lain untuk bercakap dan menjadi saksi.
Ketika anggota badan mula berkata-kata, akan terus tergambar pada riak wajahnya reaksi terhadap pengadilan di hadapan Allah SWT itu. Firman Allah SWT yang bermaksud:”Orang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka).” (Surah al-Rahman, ayat 41).
Selain itu Rasulullah SAW juga mengingatkan sesungguhnya harta bagaikan permata hijau yang cantik dalam keadaan memikat. Sebaik-baik orang Islam yang memegang harta ini hendaklah dia membahagikan hartanya kepada orang miskin, anak yatim dan menginfaqkannya ke jalan Allah SWT.
Discussion about this post