
إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
Maksudnya :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Ad-Dukhan 4459, 44:03
Allah ﷻ telah menurunkan Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ dan kewujudan Allah ﷻ dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Membaca Quran serta menghayati dan mengamalkannya merupakan satu ibadat yang sangat dituntut. Maka peristiwa Nuzulul Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi ﷺ khasnya.
Apakah maksud Nuzulul Quran?
Peristiwa Nuzulul Quran merupakan peristiwa penurunan ayat pertama Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, kemudian barulah diturunkan kepada Baginda secara berperingkat yang dimulai dengan 5 ayat pertama surah Al-A’laq. Penurunan itu berterusan secara berperingkat selama 23 tahun hingga menjadi lengkap.
Peristiwa Nuzulul Quran berlaku ketika Nabi Muhammad berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat 17 Ramadhan, sewaktu Baginda sedang beribadat di dalam Gua Hira.
Dari segi bahasa, perkataan “Nuzul” bermaksud turun, atau menetap di suatu tempat. Dari segi istilah pula, “Nuzul” bermaksud urutan penurunan Quran bermula dari Lauh Mahfuz sehingga sampai kepada Nabi Muhammad dengan cara-cara tertentu. Peristiwa Nuzulul Quran, atau Penurunan Quran merupakan peristiwa yang penting dalam sejarah Islam, kerana ia menandakan bahawa bermulanya tugas Nabi Muhammad sebagai rahmat kepada seluruh alam, sebagai penyampai wahyu daripada Allah, dan penutup sekalian Nabi dan Rasul.
Bilakah Peristiwa Penurunan Al-Quran berlaku?
Terdapat dua pendapat yang menyatakan Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum Hijrah. Pendapat kedua pula menyatakan ianya berlaku pada 24 Ramadhan malam Isnin.
Namun, pendapat pertama lebih masyhur dan digunapakai di Malaysia, iaitu pada 17 Ramadhan. Pada ketika itu, Rasulullah yang berusia 40 tahun mengasingkan diri daripada masyarakat Jahiliyah Mekah dengan beribadat di Gua Hira’ sehingga Baginda didatangi Malaikat Jibrail a.s dengan membawa wahyu pertama, petanda bermulanya kerasulan baginda.
Sesungguhnya, Quran itu suatu mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ bukan hanya kepada Baginda, tetapi buat seluruh umat manusia sehingga hari kiamat. Padanya terhimpun semua perkara termasuk tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan 1001 perkara lagi. Oleh itu, al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa’ (penawar), nur (cahaya), furqan (pembeza) antara haq dan batil, zikr dan pemberi penjelasan kepada manusia di dunia ini.
Maka ambillah segala peringatan, pelajaran dan petunjuk yang ada dalam Quran sebagai pedoman dan panduan hidup kita.
اَللَّهُمَّ نَوِّرْ قُلُوبَنَا بِتِلَاوَةِ الْقُرْءَان ، وَزَيِّنْ أَخْلَاقَنَا بِجَاهِ الْقُرْءَان ، وَحَسِّنْ أَعْمَالَنَا بِذِكْرِ الْقُرْءَان ، وَنَجِّنَا مَنَ النَّارِ بِكَرَامَةِ الْقُرْءَان ، وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ بِشَفَاعَةِ الْقُرْءَان
“Ya ALLAH sinari hati kami dengan membaca Quran. Hiasi akhlak kami dengan kemuliaan Quran. Perelokkanlah amalan kami dengan berzikir serta bertadarrus Quran. Selamatkanlah kami dari api neraka dengan kemuliaan Quran. Masukkanlah kami ke dalam syurgaMu dengan syafaat Quran.”
Aamiin Ya Robbal ‘Aalamiin.

Daftarkan diri anda dan rebut peluang mengumpul pahala dalam Majlis Ilmu PERCUMA bersama AlMukhlisin.
Daftar di website cepatpandaiquran.com
18 April 2022
17 Ramadhan 1443H

Discussion about this post