Sayang Ibu, Sangat Pemurah Dan Pemaaf – Abam Bocey Disenangi Semasa Hidup, Ditangisi Selepas Kematiannya

Sayang Ibu, Sangat Pemurah Dan Pemaaf

Mulianya Abam Bocey, ketika hidup nampak biasa, bila mati orang menyebut-nyebut kebaikannya. Minggu lalu, Malaysia dikejutkan dengan kisah pemergian seorang anak seni tempatan yang dikenali dengan Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Mohd Redzuan, 32 tahun, yang telah menghembuskan nafas terakhir pada hari Isnin, 10 februari yang lalu.

Apa yang menghairankan, meskipun hari tersebut ialah hari berkerja, solat jenazah dan pengkebumian arwah tetap dilimpahi dengan orang ramai. Turut sama kelihatan ialah para asatizah tersohor, hadir berkumpul menyempurnakan solat jenazah arwah.

Ini petanda kematian arwah ialah sebuah kematian yang baik, sekaligus menjadi tanda tanya di kalangan netizen siapakah Abam Bocey sebenarnya?

Kita Baik Ramai Sayang

Banyak kisah kebaikan arwah semasa hidupnya heboh diperkatakan sehingga telah menjentik banyak hati-hati manusia. Benarlah ungkapan yang sering disebut arwah #kitabaikramaisayang.

Antara sikap arwah yang dikongsikan oleh ibunya, arwah seorang anak yang taat dan sangat mengutamakan ibunya. Arwah juga diceritakan seorang yang sangat pemurah dan suka berkongsi rezeki dengan keluarganya.

Bahkan dia dikatakan membiayai keperluan anak-anak yatim dan menanggung perbelanjaan sekolah buat mereka yang memerlukan. Ditambah dengan sikapnya seorang yang pemaaf, walaupun pernah dikutuk dan dijadikan bahan ketawa, arwah hanya memaafkan.

Tiga Pengajaran Yang boleh kita ambil

  1. Orang yang menghormati ibu bapa pasti hidupnya diberkati. Anak yang sentiasa menjadikan ibu bapanya bahagia dengan perbuatannya, pasti hidupnya berkat dan indah. Kerana redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Oleh sebab itu, menghormati mereka dengan tidak menyakiti perasaan mereka menjadi tanggungjawab setiap anak.
  • Dalam surah al Isra’ ayat 23, Allah swt menukilkan:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

  • Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selainNya, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka, atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepadanya perkataan “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.”
  1. Amalkanlah sedekah jariah, kerana amalan inilah yang kekal menjadi jaminan kita di akhirat nanti, sepertimana sabda Nabi saw:
  • Maksudnya: “Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kedua-dua ibu bapanya.”
  1. Suburkanlah sikap memaafkan kesalahan orang lain, dan hapuskanlah sifat dendam. Orang yang paling suka memaafkan kesalahan orang lain, dia itulah orang yang selalu diberi maaf oleh Allah swt.

Semoga kita semua dapat mengambil pedoman daripada kisah yang dikongsikan ini. Sesungguhnya kita ini menuju perjalanan kepada Sang Pencipta. Berusahalah dengan membuat persiapan menuju kepada-Nya, seperti hari ini hari terakhir kita, sehingga sukar untuk kita duduk diam tanpa berbuat sesuatu kebaikan.

Setelah memahami hakikat hidup ini sementara, ayuh mulakan merancang kematian, jika benar akhirnya kita mahukan husnul khatimah.

Comments

comments

Dapatkan Tips Bagaimana Nak Istiqamah

Baca Al-Quran

Masukkan NAMA dan EMAIL utama anda

Nama Panggilan:
Email Utama Anda:

You have Successfully Subscribed!

Share This