Alhamdulillah, semalam telah berlangsung majlis penutup bagi Tilawah al Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/2020M. Johan bagi Qari telah dimenangi oleh saudara Muhammad Qayyim Nizar bin Sarimi dari negeri Kelantan dengan markah diperolehi 90.66%.
Manakala johan bagi Qariah disandang oleh saudari Puteri Kalimatul Azzua binti Hamid dari negeri Perak dengan pencapaian markah 88.34%.
Johan keseluruhan majlis tilawah dan menghafaz al Quran peringkat kebangsaan bagi tahun 1441H/2020M disandang oleh negeri Kelantan, alhamdulillah!
johan qari insan istimewa
Meskipun diuji dengan cacat penglihatan, namun saudara Muhammad Qayyim tidak menganggap ianya sebagai satu kekurangan, malah tetap berusaha untuk mempelajari al Quran dengan bersungguh-sungguh, sehingga akhirnya beliau dinobatkan juara tilawah al Quran peringkat kebangsaan tahun ini.
Sudah tentu ini bukan suatu hal yang mudah. Dia juga sama seperti kita, terpaksa belajar dan berusaha untuk menguasai bacaan al-Quran.
Bayangkan, golongan ini hanya bergantung sepenuhnya dengan al Quran braille, semata-mata untuk mengenal huruf-huruf dan ayat-ayat al Quran. Pastinya ia memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi, tidak boleh berputus asa, tidak boleh bermalas-malasan, serta perlu sentiasa bersemangat untuk belajar sehingga berjaya.
ibu bapa pencetus semangat anak-anak
Peranan dan tindakan ibu bapa sebenarnya memberi impak yang sangat besar kepada anak-anak. Ibu bapa adalah acuan kepada anak-anak, dan anak-anak terdidik dengan cara yang dimainkan oleh ibu bapa itu sendiri. Kalau baik acuan yang dibentuk, maka akan lahirlah anak-anak yang baik.
Kisah ini membuka mata masyarakat bahawa anak istimewa juga mampu berjaya.
Kesimpulan
- Kita seharusnya mengambil iktibar daripada kisah ini dan perlu bersyukur diberi oleh Allah swt pancaindera yang sempurna, anak-anak dan isteri/suami yang sempurna.
- Sewajarnya kita menggunakan sebaik mungkin pinjaman yang dikurniakan Allah ini, dengan berusaha lebih gigih untuk mendalami bacaan al Quran, membacanya dengan betul, memahami ayat-ayatnya dengan tadabbur, menghafaz surah-surahnya dan mengamalkan isi kandungannya.
- Mudah-mudahan dengan usaha kita di dunia ini, menjadi hujjah untuk kita di akhirat sana.
Discussion about this post