Setiap manusia mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Meskipun diuji dengan cacat penglihatan, namun sebahagian daripada golongan ini tidak menganggap ianya sebagai satu kekurangan, malah tetap berusaha untuk mempelajari Quran dengan bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan Allah dan mendambakan Syurga-Nya.
Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari menceritakan :
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ قَالَ إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الْجَنَّةَ يُرِيدُ عَيْنَيْه
Maksudnya : Dari Anas bin Malik r.a beliau berkata, aku telah dengar Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah telah berfirman, apabila aku menguji seorang hambaku dengan dua perkara yang menjadi kesayangannya, kemudian ia bersabar, aku akan gantikan kepadanya dengan pembalasan Syurga”
Dua perkara yang menjadi kesayangannya ialah dua biji matanya.
Mengikut laporan Berita Harian Online bertarikh 6 Disember 2018, Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi, 22, seorang yang cacat penglihatan telah dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Braille 2017. Menurut sumber, Muhammad Fiqry mengambil masa selama 6 tahun untuk mempelajari bacaan dan sebutan Quran menggunakan Quran Braille. Beliau berkata, cacat penglihatan bukanlah satu halangan besar baginya, tetapi kerana minat yang mendalam kepada Quran menyebabkan beliau mendalami teknik bacaan Quran Braille sehingga berjaya menjadi Johan.
Sudah tentu ini bukan suatu hal yang mudah. Dia juga sama seperti kita, terpaksa belajar dan berusaha untuk menguasai bacaan Quran. Bayangkan, golongan ini hanya bergantung sepenuhnya dengan Quran braille semata-mata untuk mengenal huruf-huruf dan ayat-ayat Quran. Pastinya ia memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi, tidak boleh berputus asa, tidak boleh bermalas-malasan, serta perlu sentiasa bersemangat untuk belajar sehingga berjaya.
Kisah adik Aqeel ini juga menarik untuk kita ambil sebagai pengajaran. Memetik laporan daripada Harian Metro bertarikh 13 Mac 2019, Ahmad Aqeel Faiz Mohammad Noor, 7, buta kedua matanya sejak lahir dan disahkan pula sebagai kanak-kanak autisme. Tetapi istimewanya adik ini, beliau diberikan hati yang terang untuk menghafaz surah-surah dalam Quran hanya dengan mendengar audio bacaan Quran.
Ibunya memberitahu ketika mengandungkan Aqeel, dia sering memperdengarkan alunan Quran, sehingga sekarang Aqeel akan mendengar ayat-ayat Quran yang dipasang melalui Youtube, radio dan televisyen.
Lihat bagaimana ibu bapa beliau mendorong anaknya memanfaatkan deria pendengaran yang ada untuk mendengar bacaan Quran sekaligus sehingga anaknya mampu menghafal surah-surah Quran.
Betapa peranan dan tindakan ibu bapa sebenarnya memberi impak yang sangat besar kepada anak-anak. Ibu bapa adalah acuan kepada anak-anak, anak-anak terdidik dengan cara yang dimainkan oleh ibu bapa itu sendiri. Kalau baik acuan yang dibentuk, maka akan lahirlah anak-anak yang baik.
Sebenarnya, tiada beza seseorang itu normal atau cacat penglihatan. Jika dalam diri itu ada keinginan dan kesungguhan untuk membaca Quran, pasti ia lebih mudah untuk menguasai bacaan Quran. Tetapi jika tiada kesedaran tentang kepentingan Quran, maka yang mudah pun menjadi susah. Sibuk dan tiada masa, kurang mahir menyebut huruf-huruf Quran sentiasa menjadi alasan. Sedangkan zaman ini sudah banyak medium yang boleh digunakan untuk mencari ilmu dan menambah kesedaran. Semuanya dihujung jari sahaja.
Cuba kita hayati firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 29:
إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ
“Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah, mendirikan solat dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara sembunyi ataupun secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi”
Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah sangat menyukai hamba-Nya yang sentiasa membaca dan melazimi Quran. Oleh itu, carilah guru yang boleh membimbing bacaan kita, dan manfaatkan teknologi yang ada sebagai alat bantuan untuk kita sentiasa bersama Quran.
Saya teringat satu video seorang budak Arab yang buta matanya mampu menghafal Quran yang menjadi tular di Facebook waktu itu. Kata-kata beliau amat menyentuh hati. Beliau mula menghafal Quran pada umur 6 tahun, dan melakukannya dengan perasaan yang begitu berat dan susah. Bayangkan beliau melalui perjalanan yang jauh untuk memperdengarkan bacaannya kepada Syeikh.
Tetapi beliau yakin dengan usaha untuk mengingati Quran ini, suatu masa nanti Quran inilah yang akan menjadi kenikmatan yang besar baginya dunia dan akhirat. Beliau percaya Quran lah yang akan menjadi penolong dirinya di hari kiamat. Beliau berkata, Allah lah yang menghilangkan pandangan ini dan beliau bersyukur atas segala nikmat tersebut.
Bahkan beliau sering berdoa memohon kepada Allah agar tidak dikembalikan nikmat melihat lagi, semoga dengan ini boleh menjadi hujjahnya di hadapan Allah di hari kiamat, sehingga Allah boleh meringankan azab bagi dirinya. Ketika aku berada di hadapan-Nya, dan Dia bertanya kepadaku “apa yang kau lakukan dengan Quran?” Semoga dengan mataku yang buta ini dapat meringankan hisabku.
Setelah membaca kisah anak ini, cuba kita fikir, masih ramai orang Islam di luar sana yang sempurna sifatnya, mampu melihat dan mendengar, mulut mampu berkata-kata, tetapi masih lagi malas untuk membaca apatah lagi menghafal kitab Allah. Ya Allah, bagaimana jawapan mereka nanti di hadapan Allah?!
Kita seharusnya mengambil iktibar daripada kisah-kisah ini dan perlu bersyukur diberi oleh Allah pancaindera yang sempurna, anak-anak dan isteri/suami yang sempurna. Maka sewajarnya kita menggunakan sebaik mungkin pinjaman yang dikurniakan Allah ini dengan berusaha lebih gigih untuk mendalami bacaan Quran, membacanya dengan betul, memahami ayat-ayatnya dengan tadabbur, menghafaz surah-surahnya dan mengamalkan isi kandungannya.
Mudah-mudahan dengan usaha kita di dunia ini, menjadi hujjah untuk kita di akhirat sana. Amiin.
Seminar CepatPandaiQuran.com secara PERCUMA setiap bulan.
DAFTAR di website »»» cepatpandaiquran.com
=======
Nak BIMBINGAN QURAN BERFOKUS?
Tekan link Whatsapp SEKARANG
https://bit.ly/BimbinganQuranBerfokus
*Ada Yuran komitmen untuk BIMBINGAN QURAN BERFOKUS
Discussion about this post