KANSER MENJODOHKAN DIA DAN QURAN

Setiap dari kita sudah pasti ada kenangan khatam Quran masa kecik-kecik dulu. Paling tidak, kalau pun tak khatam dengan guru Quran di kampung, mesti ada juga yang berjaya khatam bacaan Quran dengan mak ayah.

Tapi uniknya anak bongsu dalam keluarga ini mengakui, beliau tidak pernah khatam secara berguru sejak dari kecil sehinggalah beliau menginjak ke dunia kampus. Asaritaminaziah Hasim atau lebih suka dikenali dengan Kak Rini, menjalani hari-hari dalam kehidupan seperti orang normal yang lain. Belajar, berkeluarga dan berkerjaya.  

TURNING POINT DALAM HIDUP

Kak Rini telah kongsikan, berlakunya titik perubahan dalam hidup apabila beliau telah didiagnos dengan kanser payu dara beberapa hari selepas tragedi MH370 iaitu pada 12 Mac 2014, tepatnya lebih kurang  6 tahun yang lepas. 

Titik perubahan itu pun sebenarnya dalam perancangan kasih sayang Allah sebab pada awalnya, Kak Rini langsung tidak menunjukkan sebarang simptom kanser, tetapi Allah masih sayangkan beliau sebab secara tak sengaja, beliau hanya menemani seorang kawan untuk buat diagnos kanser, tapi sebab alang-alang dah masuk kat Pusat Kanser HUSM pada masa tu, Kak Rini terus buat checkup. Jadi ianya juga adalah rezeki bagi Kak Rini sebab dapat peluang untuk diagnos kanser lebih awal sebelum melarat lebih teruk.

Semua sedia maklum, proses rawatan bagi pesakit kanser akan melibatkan rawatan kemoterapi, di mana proses ini akan menyebabkan badan menjadi penat dan tidak bertenaga. Itulah yang dialami oleh Kak Rini.

BERNAZAR DENGAN QURAN

Bermula dari kitaran kemoterapi yang kedua, disebabkan beliau sendiri sudah tahu kesan sampingan dari rawatan kemoterapi tu akan menyebabkan beliau hilang daya tenaga, Kak Rini telah bernazar dengan satu perkara. 

Dalam Islam, nazar ini adalah diharuskan. Nazar dari sudut istilah ialah apa yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. 

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2:501)

Disebabkan Kak Rini ada semangat juang yang tinggi untuk melalui proses rawatan kemoterapi, walaupun selepas mengetahui kesan sampingannya, Kak Rini telah bernazar, sekiranya beliau boleh menjalani aktiviti harian secara normal tanpa merasai kepenatan pada anggota tubuh selepas menjalani rawatan, beliau akan menghafal Surah Yasin secara serius.

Dengan izin Allah, dan boleh jadi kerana keberkatan dari Quran itu sendiri, selepas kitaran kedua rawatan yang memenatkan, Kak Rini berupaya untuk solat dan melakukan ibadah lainnya secara normal, tanpa melalui fasa ketidakupayaan anggota badan dan lain-lain kesan sampingan rawatan seperti kitaran pertama.

Maka secara tidak langsung, wajiblah ke atas Kak Rini untuk melaksanakan nazarnya.  

Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman Allah SWT dalam Quran :

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu. (Surah al-Hajj: 29)

Disebabkan itulah, takdir Allah memberikan ujian kanser ini kepada Kak Rini menjadi penyebab untuk Kak Rini mula mendekati Quran dengan lebih akrab, bukan sekadar dengan bacaan, tapi sehingga naik ke level seterusnya iaitu menghafal.

Begitulah aturan Allah, penyakit kanser ini telah menjodohkan Kak Rini dengan Quran. Dan rutin rawatan kemoterapi yang berterusan dilalui oleh Kak Rini dengan penuh kecekalan, bertemankan nazar yang sama setiap kali kitaran. 

Ditakdirkan Allah, sehingga beliau tamat kitaran ke-6 rawatan kemoterapi kanser, beliau secara “tak sengaja” telah menghafal Surah Yasin, As Sajdah, Al Mulk dan Al Waqi’ah.

PERJALANAN BERSAMA QURAN TETAP DITERUSKAN

Walaupun sudah tamat semua kitaran rawatan kemoterapi, “percintaan” Kak Rini dan Quran tidak terhenti setakat itu sahaja. Beliau tetap juga meneruskan hafalan surah-surah pendek yang lain termasuk surah-surah dari Juz ‘Amma.

Beruntungnya Kak Rini kerana telah dipilih oleh Allah untuk merasai pengalaman sebagai pesakit kanser, dan dalam masa yang sama juga berpeluang untuk menghafal Quran secara “tak sengaja”.

Sebagai tanda kesyukuran Kak Rini kerana sembuh dari kanser secara total, ditakdirkan lagi sekali Kak Rini bertemu dengan 2 orang sahabat yang menjadi penyebab untuk Kak Rini mencari guru mengajar Quran. 

KESEDARAN UNTUK BERGURU

Dari situlah bermula perjalanan kedua Kak Rini bersama Quran. Benarlah kata Allah, hidayah itu memang sudah ada, cuma persoalannya adakah kita mahu menerimanya atau tidak. Kak Rini dan 2 orang sahabatnya berikhtiar mencari guru Quran dan direzekikan bertemu dengan Ustaz Zul AlMukhlisin pada Disember 2016. 

Apabila rutin seharian semakin sibuk dengan urusan kerja, bermula Julai 2017, Kak Rini telah memulakan kelas mengaji berkumpulan di Jabatan Klinikal HUSM, tempat beliau bekerja ketika itu. Uniknya, bukan beliau sahaja yang mengaji, malah ketua jabatan dan rakan-rakan sekerja juga turut bersemangat ikut serta. Sehingga beberapa orang dari mereka telah berjaya khatam bacaan Quran bersama Ustaz Zul AlMukhlisin.

Walaupun Kak Rini belum lagi berjaya khatam disebabkan beberapa kekangan lain, perjalanan Quran Kak Rini tetap diteruskan. 

HIKMAH COVID-19 DAN PKP MAC 2020

Pandemik Covid-19 di seluruh dunia telah memberikan 1001 hikmah buat insan-insan yang terpilih. Seperti kebanyakan orang lain, asbab dari bermulanya rancangan LIVE di Facebook AlMukhlisin Home Quran melalui program Waqiah Magnet Rezeki pada Mac 2020, telah membuka mata ramai orang termasuk Kak Rini untuk kembali berguru, khususnya bersama AlMukhlisin.

Walaupun Kak Rini akui, beliau antara pelajar AlMukhlisin yang seperti “Chipsmore”, kejap ada kejap takde, sehingga kini, beliau tetap konsisten bersama AlMukhlisin, khususnya talaqqi bacaan Quran bersama sang Murabbi AlMukhlisin iaitu Ustaz Zul.

InsyaAllah, sekiranya diizinkan Allah, Kak Rini dalam perancangan akan menamatkan bacaan beliau secara bertalaqqi dengan guru pada 19 Januari 2021. Dan Maha Suci Allah, pengalaman ini akan menjadi kenangan paling manis bagi Kak Rini sebab ianya adalah kenangan khatam bacaan Quran secara berguru yang pertama walaupun pada usia 44 tahun.

Jutaan tahniah untuk Kak Rini daripada team AlMukhlisin atas segala kesungguhan Kak Rini sepanjang perjalanan mendekati Quran yang mulia. 

Boleh tonton perkongsian inspirasi Kak Rini dalam video di bawah : 

Boleh baca juga coretan ringkas Quran Journey Kak Rini bersama AlMukhlisin di sini :

https://www.facebook.com/naz6477/posts/10158038343474405

Indahnya apabila dapat bercinta dengan Quran. Subhanallah! Maha Suci Allah!  

Anda mahu dibimbing sepertimana Kak Rini dibimbing oleh AlMukhlisin?

Klik link ini sekarang. Now or never.

– Konsisten Berguru Sehingga Ke Akhir Hayat –

Comments

comments

Dapatkan Tips Bagaimana Nak Istiqamah

Baca Al-Quran

Masukkan NAMA dan EMAIL utama anda

Nama Panggilan:
Email Utama Anda:

You have Successfully Subscribed!

Share This