Apakah Hukum Wanita Uzur Baca Quran ?
SOALAN :
Ustaz, apakah hukum wanita uzur membaca Quran? Bagaimana pula hukumnya bagi mereka yang menghafal Quran?
JAWAPAN :
Soalan ini sangat popular dalam kalangan pembaca Quran wanita. Jadi, saya telah menemui jawapan yang boleh digunakan untuk panduan kehidupan kita. Saya mengambil bingkisan jawapan daripada YB Senator Datuk Dr Hj Zulkifli Mohamad Al Bakri, mantan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam masalah ini, terdapat 2 pandangan masyhur.
Pendapat Pertama : Haram.
Inilah pendapat jumhur Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca Quran ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA
لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
“Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada Quran.”
Riwayat al-Tirmizi (131)
Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagiannya diriwayatkan oleh Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan ada riwayat daripada mereka adalah dhaif.
Pendapat Kedua : Harus.
Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.
Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca Quran, dibimbangi hafazan Quran mereka akan semakin dilupakan. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.
Kelonggaran hukum ini juga memberi kemudahan kepada institusi-institusi pengajian Tahfeez untuk meneruskan sesi pembelajaran dan pengajaran supaya para huffaz tidak melupakan hafazan disebabkan tidak membaca Quran sepanjang tempoh kedatangan haidh.
Antara Kenyataan Mereka
Begitu juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur.
Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan hukum HARUS membaca Quran ketika Haidh ini adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. (Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam, 1/461)
Berikut juga adalah antara pandangan dari beberapa ulama’ yang lain :
- Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haidh membaca Quran dalam keadaan adanya darah, sekalipun setelah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)
- Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haidh membaca Quran tanpa menyentuh Quran.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)
- Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanita haidh daripada membaca Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali, tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf 1/347)
- Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Rushd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca Al Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu (Lihat Fath al-Bari 1/486)
- Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca Quran sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca Quran bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan Quran dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan Quran tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636)
Kesimpulan Hukum ?
Kesimpulannya, membaca Quran dan menghafaznya ketika dalam keadaan uzur syari’e atau haidh adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan.
Di sini sekali lagi dinyatakan beberapa pendapat atau athar dalam menyokong pendapat ini.
- Direkodkan bahawa Saidatina Aishah membaca Quran dalam keadaan haidh. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 1/357, al-Tabarani dalam Awsat 2/98, Ibn Rajab dalam Fath al-Bari 1/46, Ibn Hazm dalam al-Muhalla 1/78-79.
- Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib dan termasuk Muhammad ibn Maslamah, yang menyatakan keharusan membaca Quran bagi wanita haidh.
Di sini ditegaskan satu pendapat yang cukup baik dikemukakan oleh mantan Syeikh Al Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa.
Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haidh untuk menghafaz Quran dan membacanya ketika haidh atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana ujian itu adalah terhad dan terbatas pada waktu itu sahaja. Jadi, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.
Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haidh adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca Quran, iaitu wanita tersebut boleh memegang dan membaca Quran sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175)
Bagi pelajar yang menghafal dan didatangi haidh juga disarankan supaya menukarkan kaedah mengulang hafazan melalui bacaan kepada kaedah mendengar bacaan Quran daripada sumber-sumber video Qari yang sesuai, yang mana dengan mendengar bacaan Quran secara berulang kali juga dapat membantu seseorang itu mengingati dan mengulang hafazan Quran dengan baik.
Sumber : Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan
Boleh dengarkan di Channel Youtube AlMukhlisin, beberapa contoh bacaan oleh Ustaz AlMukhlisin.
Antaranya seperti di bawah :
Berminat untuk mendalami Tadabbur Quran bersama Ustaz AlMukhlisin?
Boleh ikuti program harian 30 Minit Ustaz AlMukhlisin, setiap hari pada jam 8.00 pagi di FB Page AlMukhlisin Home Quran.


Semoga bermanfaat untuk anda semua.
Baca Lagi
Tips Mudah Hafal Al Quran
Tips Elak Putus Asa Ketika Hafal Al Quran
Discussion about this post