Adik Muhammad Ammar Qayyim, seorang kanak-kanak istimewa yang disahkan autisme, berjaya menyempurnakan hafazan al Quran 30 juzuk seawal usia lapan tahun lagi. Subhanallah, inilah mukjizat al Quran.
Bermodalkan tunjuk ajar daripada guru, dan sokongan serta usaha gigih daripada keluarga dan ibu bapa, menjadikan kanak-kanak ini mampu menghafaz al Quran.
Ikuti Kisah Anak Istimewa Ini
Kisah adik Muhammad Ammar Qayyim, seorang kanak-kanak autisme ini, tular apabila dia berjaya menghafaz 30 juzuk al Quran seawal usia lapan tahun. Laporan ini dipetik daripada Harian Metro bertarikh 17 Januari 2020.
Autisme ialah gangguan perkembangan yang kompleks, disebabkan adanya kerosakan pada otak, sehingga mengakibatkan gangguan pada perkembangan komunikasi, tingkah laku, kemampuan sosialisasi dan pembelajaran.
Ibu bapa kepada adik Ammar ini memberitahu, walaupun anaknya tidak seperti kanak-kanak lain, tetapi mereka positif dan bersangka baik dengan ketentuan Allah swt yang mengurniakan seorang anak syurga buat mereka. Mereka yakin, apabila kita berdamping dengan al Quran, Allah akan menjaga kita.
Lihat gambar di atas, ibu bapa kepada adik Ammar bersyukur kerana anaknya mampu untuk menghafaz 30 juzuk al Quran.
Menghafaz Al Quran di Akademi Darul Huffaz
Adik Ammar belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia. Dia menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila boleh menghafaz al Quran diusia tujuh tahun.
Pihak Akademi Darul Huffaz juga telah menguji hafazan adik Ammar, dan Subhanallah adik Ammar mampu menyambung ayat seterusnya dan mampu meneka surah yang dibaca, berserta nombor ayatnya.
Jelaslah disini bahawa, kekurangan adik Ammar ini sedikitpun tidak menghalangnya untuk mencapai hafazan yang mantap. Ini suatu kisah luar biasa yang boleh kita ambil pengajaran.
Dalam situasi ini, kita melihat pentingnya peranan yang dimainkan oleh ibu bapa dalam memberi dorongan dan didikan yang terbaik buat anak-anak.
Walaupun dikurniakan anak istimewa, tetapi apabila ibu bapa memberi galakan yang betul, anak istimewa juga mampu berjaya, bahkan kadang-kadang lebih besar potensinya berbanding kanak-kanak normal yang lain.
Sungguh bertuah ibu bapa adik Ammar ini, yang memilih cara pendidikan al Quran untuk anak mereka. Jarang sekali anak istimewa sebegini mampu menghafaz dan mengingati al Quran 30 juzuk, yang biasa kita dengar hanya hafaz juzuk 30 (muqaddam).
Dr Raghib al Sirjani daripada buku “Sehingga Al Quran Terpahat Di Hati” menyimpulkan : “Semua ini mengisyaratkan bahawa kemudahan menghafaz kitab al Quran ini suatu mukjizat ilahiyyah dan ayat rabbaniyyah (ayat yang datang daripada Allah).”
Justeru, benarlah firman Allah swt dalam surah al Hijr, ayat 9:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Saya percaya setiap ibu bapa juga mempunyai hasrat dan impian murni seperti ini. Bagi kita yang normal, boleh kita jadikan kisah keluarga adik Ammar ini sebagai “role model” dan pemangkin untuk menjadikan ahli keluarga kita, anak-anak kita untuk turut sama menghafaz Kalam Allah yang mulia ini iaitulah al Quranul Karim.
Discussion about this post