Ada sebahagian orang rasa malu bila tak boleh baca Quran. Katanya saya nak sangat baca Quran, tapi saya tak pandai. Bila ada tadarus al Quran di pejabat, saya nak ikut serta tapi tak berani sebab nanti malu orang dengar saya tak reti mengaji.
Kita tidak boleh rendah diri walaupun kita tak pandai mengaji. Itu hanyalah halangan kecil yang dibisikkan syaitan yang selalu nakkan manusia jauh dari al Quran. Rugilah kalau kita terpengaruh dengan syaitan. Ikuti penjelasannya kenapa anda tak perlu malu untuk baca al Quran.
Mindset Kena Betul dan Carilah Guru Pembimbing
Sebab yang pertama ialah kita kena letakkan dalam minda kita bahawa pandangan Allah adalah segala-galanya berbanding pandangan manusia. Biarlah kita nampak kurang di mata orang, tapi kita di angkat tinggi di mata Allah. Dengan apa? Salah satunya dengan al Quran. Sebab itu dalam bab mengaji al Quran, kena buang sifat malu nak belajar. Bukan maksudnya tak boleh ada sifat malu, tapi biarlah malu itu diletakkan sesuai pada tempatnya.
Yang kedua, jika kita rasa kurang lancar membaca al Quran, berusahalah untuk dapatkan guru yang boleh bantu kita memperelokkan bacaan. Belajar al Quran ni tak boleh malu. Sebab tidak ada manusia yang keluar dari perut ibunya dan terus pandai. Semuanya perlukan usaha, perlukan bimbingan dan tunjuk ajar.
Dalam hal-hal keduniaan pun, jika kita nak memahami sesuatu perkara, kita kena belajar, kena masuk kelas, kena berguru. Nak belajar bawa kereta pun kita perlu kepada guru, inikan pula hal yang melibatkan akhirat, sepatutnya usaha mempelajarinya kena lebih lagi melebihi hal-hal dunia. Sebab itu dalam bab mengaji, jangan tengok umur berapa kita bermula, tapi tengok apa yang belum kita ada. Apa yang belum kita tahu dan apa yang perlu kita perbaiki.
Menuntut ilmu ini wajib. Pandai ke tak pandai itu soal kedua. Allah tak tanya kita pandai ke tidak, tapi yang pasti ditanya ialah kamu belajar ke tak? Masa kat dunia kamu cari ilmu ke tak? Kamu usaha ke tidak untuk baca al Quran? Apa kita nak jawab?!
Jangan Cepat Give-Up
Yang ketiga ialah jangan mudah putus asa, jangan cepat lemah semangat, jangan terpedaya dengan bisikan-bisikan mazmumah yang bersarang dalam kepala kita. Putus asa ini sifat yang tidak baik. Kalau rasa give up, cepat-cepatlah cari ubat, jangan dilayan sangat nanti kita yang rugi.
Ok saya kongsikan yang keempat pula iaitu jangan ada sikap suka bertangguh. Sebenarnya kalau ada sikap bertangguh ni, banyak benda kita rugi. Banyak benda kita tak dapat nak buat dan banyak masa yang berlalu sia-sia. Orang lain dah lama belajar al Quran, dah lama dia pandai, dah banyak pahala dia dapat. Kita macam mana? Nak belajar pun asyik bertangguh je? Kalau tak nak ubah sekarang, bila lagi?
Yang kelima dan terakhir sekali, anda perlu bertindak sekarang. Ini step paling penting untuk anda buang terus sifat malu yang ada dalam diri tu. Lakukannya sekarang, cari guru al Quran. Kalau anda rasa tak ada masa, anda silap besar. Masa kita semua sama. Orang lain juga sibuk, tapi susunan masa mereka tetap ada untuk al Quran.
Oleh sebab itu, uruskanlah masa kita sebaik mungkin. Al Quran sepatutnya dan semestinya ada dalam jadual harian kita. Gunakan masa kita ke arah yang betul, ingatlah nanti kita akan dipersoalkan ke mana masa kita dihabiskan? Adakah untuk berkerja semata-mata? Sama-sama kita usaha ke arah kehidupan yang diredhai Allah swt.
Discussion about this post